fbpx

Tiga jalan sekitar Penjara Reman Pulau Pinang ditutup ketika PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan terlibat PKPD di sekitar Penjara Reman Pulau Pinang, George Town.

GEORGE TOWN – Polis menutup tiga jalan di sekitar Penjara Reman Pulau Pinang dan kuaters kakitangan penjara di sini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula tengah malam ini.

Jalan-jalan terlibat adalah Jalan Penjara, Jalan Lim Khoon Huat dan Jalan Berek yang akan ditutup untuk lalulintas sehingga pukul 11.59 malam 27 Oktober nanti.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, Jalan Penjara iaitu kawasan pintu masuk penjara akan ditutup sepenuhnya manakala Jalan Lim Khoon Huat ditutup sehingga kuarters kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terletak berhampiran kawasan itu.

Sementara itu, tambahnya, Jalan Berek pula ditutup separuh jalan sehingga ke kuarters pegawai kanan penjara.

“Sebanyak tiga sekatan jalan raya akan dibuat di tiga jalan tersebut dan orang ramai tidak dibenarkan masuk ke kawasan PKPD.

“Kakitangan penjara serta ahli keluarga yang tinggal di dalam kuarters itu pula hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran bagi urusan penting dan kecemasan sahaja, itu pun dengan kebenaran polis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, penutupan jalan itu turut melibatkan pintu enam ke Hospital Pulau Pinang kerana termasuk dalam kawasan PKPD dan orang ramai diminta menggunakan pintu masuk lain untuk ke hospital.

Tambahnya, PKPD itu melibatkan seramai 2,298 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dan 390 kakitangan penjara serta ahli keluarga yang tinggal di tujuh blok kuarters petugas di situ membabitkan 117 unit rumah dan lapan kediaman pegawai kanan.

Dalam pada itu, katanya, PKPD itu hanya melibatkan kawasan penjara dan kuarters kakitangan dengan keluasan kawasan kira-kira 1.37 kilometer persegi, manakala penduduk berhampiran tidak terlibat.

“Mereka yang tinggal di kawasan itu memang tidak dibenarkan keluar daripada rumah dan ujian saringan Covid-19 akan dilakukan secara bersasar oleh petugas KKM.

“Makanan harian pula akan disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pusat Kawalan Operasi Daerah,” katanya.

Beliau berkata, selain sekatan jalan raya, pihaknya turut memasang khemah polis di tiga lokasi di situ serta menempatkan polis trafik di semua laluan masuk ke kawasan PKPD bagi membantu melancarkan lalu lintas dan memaklumkan jalan alternatif kepada pengguna jalan raya.

Menurutnya seramai 158 pegawai dan anggota polis dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia akan bertugas 24 jam sehari di kawasan PKPD tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN