WASHINGTON – Presiden Donald Trump mahu membuktikan kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) bahawa beliau mampu mengatasi pandemik koronavirus dan pencabarnya daripada Parti Demokrat, Joe Biden di sebalik keputusan tinjauan pendapat yang memihak kepada Biden.
Seminggu selepas keluar dari hospital, Trump menaiki pentas sambil melontar pelitup-pelitup muka kepada penyokongnya seperti seorang bintang rock pada sebuah perhimpunan politik di Sanford, Florida kelmarin.
Bagaimanapun, beliau sendiri tidak memakai pelitup muka.Bersuara lantang, Trump mengecam seterunya dan wartawan tanpa berlapik.
Malah, Presiden AS itu langsung tidak kelihatan seperti lelaki obes berusia 74 tahun yang lesu dan memerlukan mesin oksigen untuk bernafas beberapa hari lalu.
“Mereka kata saya imun terhadap koronavirus. Saya berasa sungguh berkuasa,” katanya.
Akhbar AS, New York Times melaporkan sebelum ini bahawa Trump pernah menimbang untuk memakai baju adiwira Superman apabila dibenar meninggalkan hospital pada 5 Oktober lalu. Para penyokong tidak akan mentertawakannya jika beliau berbuat demikian.
“Kami sayang, kami sayang kamu,” laung mereka di Sanford.
Dalam ucapannya, Trump berkata, beliau mendapat ‘aura pelindung’ selepas sembuh daripada Covid-19.
Trump turut mengkritik jadual Biden, malah mengejek seterunya kerana memakai pelitup muka dan batuk.
“Beliau (Biden) tiada kudrat lagi, beliau tidak bertenaga.
“Beliau adalah calon Presiden AS paling teruk dalam sejarah,” kata Trump.
Sementara itu, lebih 10 juta warga AS mengundi awal dalam pilihan raya Presiden AS, tiga minggu sebelum hari mengundi pada 3 November ini. – AFP