fbpx

Polis Gerik patahkan cubaan seludup daun ketum ke Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas setelah menahan dua individu di Bandariang, Gerik semalam. Pix -AZLIZA MUSA

Oleh ASLIZA MUSA

GERIK – Cubaan dua sekawan dari Naka, Kedah membawa daun ketum lebih satu tan dengan menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer ke Tanah Merah, Kelantan gagal apabila ditangkap di Bandariang di sini semalam.

Lelaki dan wanita berusia 31 dan 32 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Gerik pada pukul 4.10 pagi.

Kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Urvan itu ditahan ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan di Kilometer 9, Jalan Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey di sini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menjumpai 106 bungkus plastik hitam berisi daun ketum seberat 1,060 kilogram di bahagian tempat duduk belakang.

Katanya, siasatan mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari warga tempatan di Pendang, Kedah untuk dijual di Tanah Merah, Kelantan.

“Daun ketum ini dibeli pada harga RM8 sekilogram tetapi dijual pada harga tiga kali ganda sehingga RM25 di Tanah Merah dan ia dijual untuk pasaran kawasan tersebut.

“Siasatan mendapati, suspek yang menaiki kenderaaan sewa itu akan menggunakan laluan di Gerik untuk ke Kelantan dua kali sebulan bergantung kepada permintaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, kenderaan yang disewa juga berbeza setiap kali melakukan penghantaran dengan suspek diberi upah sebanyak RM500 bagi setiap satu perjalanan.

Katanya, daun ketum seberat 1,060 kilogram yang dirampas itu dianggarkan bernilai pasaran RM26,500.

“Kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan ujian air kencing yang dilakukan juga positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka ditahan reman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI