PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini sehingga 27 Oktober depan lebih longgar apabila semua aktiviti perniagaan, ekonomi dan industri dibenarkan beroperasi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, medan selera, kedai runcit dan kedai serbaneka boleh beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 10 malam.
“Makan di premis makanan juga adalah dibenarkan, namun ia terhad kepada dua orang satu meja dengan pematuhan standard prosedur operasi (SOP) sektor makanan.
“Ini pernah dilaksanakan ketika PKPB pada bulan Mei lalu, kita mulakan dengan SOP dua orang semeja sebelum kita longgarkan sedikit demi sedikit, tetapi sekarang, ia kembali kepada SOP PKPB seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang media secara virtual di sini semalam.
Tambah Ismail Sabri, waktu operasi stesen minyak adalah antara 6 pagi hingga 10 malam kecuali pengoperasian stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.
Katanya, pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT (stesen transit aliran ringan), teksi, e-hailing juga dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing hanya dua orang penumpang.
“Penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.
“Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.
“Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 8 pagi hingga 11 malam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan akan membawa cadangan membenarkan hanya enam orang jemaah termasuk imam masjid dibenarkan dalam tempoh PKPB kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memberitahu, seramai 2,830 individu termasuk banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini.
Menurutnya, pelaksanaan itu turut membabitkan 524 kakitangan penjara dan keluarga yang mendiami Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang serta di luar kuarters bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam komuniti.