Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Penggiat sukan dan rekreasi termasuklah pemilik premis di Sabah perlu mematuhi arahan semasa mengenai larangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa arahan semasa MKN dan Kerajaan Negeri Sabah yang telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu dari 13 hingga 26 Oktober depan.
Katanya, arahan itu antara lain melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi, sosial serta budaya di seluruh negeri Sabah.
“Sehubungan itu, penggiat sukan dan rekreasi termasuklah pemilik premis serta operator fasiliti sukan dan rekreasi di Sabah perlu mematuhi arahan semasa mengenai larangan daripada MKN, PBT serta kerajaan negeri yang berkuat kuasa ketika ini.
“Arahan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu pada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang akhbar di Facebook Live Kementerian Pertahanan memaklumkan, semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya di negeri yang dikenakan PKPB adalah tidak dibenarkan.
Beliau berkata, aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, taman permainan indoor dan panggung wayang adalah tidak dibenarkan.
“Aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan serta.kejohanan juga tidak dibenarkan.
“Selain itu, acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton dan melibatkan peserta dari luar negeri juga adalah dilarang,” katanya.
Bagaimanapun katanya, program latihan berpusat yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri boleh diteruskan secara Pendekatan Berteraskan Kuarantin.
Ini seperti yang dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.-K! ONLINE