JOHOR BAHRU – Pemandu wanita yang menyebabkan kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam nahas kemalangan jaya raya pada Sabtu lalu dijangka didakwa di Mahkamah Majistret di sini esok.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi sebentar tadi.
“Betul, pendakwaan akan dibuat esok, ” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Makluman media rasmi berhubung liputan pertuduhan kes berkenaan esok difahamkan akan dikeluarkan Polis Johor dalam masa terdekat.
Semalam Ayob Khan memaklumkan, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor untuk proses selanjutnya.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi Sabtu lalu, pemandu, Honda Accord, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian setelah dirempuh kenderaan Perodua Myvi dipandu wanita berusia 23 tahun.
Pemandu itu kemudian ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu selain turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.
Turut cedera dalam kemalangan tersebut, pemandu kereta Proton Iswara, Chang Ah May, 78.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca kerana kenderaan Perodua Myvi hilang kawalan sebelum merempuh kedua-dua kenderaan berkenaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.-K! ONLINE