Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM -Aktiviti semua pasar pagi dan upacara pendaftaran perkahwinan bukan Islam dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat selepas memperincikan pandangan semua pihak terutama berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kita memutuskan bahawa aktiviti pasar pagi adalah dibenarkan namun ia tertakluk kepada SOP yang sama seperti pasar malam.
“Selain itu, upacara pendaftaran perkahwinan bukan Muslim juga dibenarkan namun tidak boleh melebihi enam orang pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penggunaan taman permainan dan peralatan senaman di taman awam adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Menurut Amirudin, semua keputusan itu hasil Mesyuarat Penyelarasan
Pelaksanaan PKPB Selangor yang melibatkan Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pegawai-pegawai Daerah pagi tadi.
“Mesyuarat itu turut disertai Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor.
“Setelah meneliti pandangan semua pihak, kita memutuskan untuk menggunapakai keseluruhan SOP bermula 14 hingga 27 Oktober ini,” katanya.
Justeru, beliau meminta semua rakyat negeri ini terus mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19. -K!ONLINE