KUALA LUMPUR – Pas akan tetap mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) biarpun sekutunya UMNO dilihat berbeza pendapat ketika ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tetap dengan pendirian untuk mempertahankan kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun UMNO kini membuat ketetapan dan syarat baharu mengenai sokongan mereka.
Jelasnya, Pas percaya pendekatan itu akan memperkukuhkan hubungan dalam kalangan parti di dalam gabungan MN.
“Pas akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneliti kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung keputusan mesyuarat Biro Politik UMNO, malam tadi.
“Pas yakin segala permasalahan akan dapat diselesaikan melalui proses perundingan dan MN akan adakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi meneruskan beberapa agenda yang masih belum diselesaikan.
“Banyak mesyuarat tertangguh kerana Covid-19 dan Pilihan Raya Negeri Sabah, malah beberapa pimpinan yang pulang dari Sabah sedang menjalani kuarantin kendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata demikian untuk mengulas berhubung pendirian UMNO yang sedang menimbang menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Semalam, UMNO memutuskan untuk meletakkan syarat baharu bagi meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO. – K! ONLINE.