fbpx

‘Mungkin ambil masa lebih lama’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk memasuki pasar raya Giant di Batu Caves, Selangor bagi membeli barang keperluan susulan pelaksanaan PKPB di negeri itu bermula hari ini.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini dijangka mengambil masa yang lebih lama berbanding tempoh 14 hari yang ditetapkan.

Pensyarah Kanan Virologi Program Mikrobiologi Institut Sains dan Biologi, Universiti Malaya, Dr. Jasmine Elanie Khairat berkata, jangkaan itu adalah ber­­dasarkan peningkatan kes po­sitif Covid-19 di negeri-negeri berkenaan setiap hari.

“Semasa PKP dilaksanakan pada Mac sehingga Mei lalu, kes Covid-19 tidak sebanyak kali ini. Ketika itu pun kita mengambil masa sebelum PKP dan PKPB dapat ditamatkan.

“Dalam keadaan wujud virus mutasi D614G yang berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 lebih 10 kali ganda, berkemungkinan PKPB kali ini mengambil masa lebih lama sebelum dapat ditamatkan,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Pada 12 Oktober lalu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi membendung pe­ningkatan kes Covid-19.

PKPB di Sabah bermula te­ngah malam kelmarin sehingga 26 Oktober manakala perintah yang sama dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini sehingga 27 Oktober.

Jasmine Elanie berkata, kadar jangkitan Covid-19 di kawasan PKPB terbabit bagaimanapun dapat diturunkan dengan cepat jika setiap anggota masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau, masyarakat ketika ini sepatutnya lebih celik tentang langkah mencegah penularan wabak Covid-19 selepas melalui tempoh PKP dan PKPB yang panjang sebelum ini.

Sementara itu, Pakar Epidemiologi, Prof. Datuk Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, penurunan kes Covid-19 di Sabah mungkin hanya dapat dilihat dalam tempoh enam hingga lapan minggu.

Jelas beliau, jangkaan berdasarkan pelaksanaan PKPB itu bagaimanapun bergantung kepada tahap pematuhan orang ramai terhadap SOP yang ditetapkan.

Kata beliau, penurunan kadar jangkitan Covid-19 di Selangor pula mungkin dapat dilihat dalam tempoh empat hingga enam minggu.

“Tidak semua daerah di Se­langor ada kes, namun trend Covid-19 di negeri ini terus me­ningkat. Belum menunjukkan kadar jangkitan di negeri ini mencapai kemuncak,” katanya.

Jelas beliau, kemuncak kepada jumlah kes positif Covid-19 hanya boleh dilihat apabila kadar jangkitan di sesebuah kawasan berkurangan dari seminggu ke seminggu.

“Kita berharap hasil daripada PKPB, kawasan hijau di Selangor tidak bertukar kepada kuning,” katanya.

Bagi Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr Baayah Baba, beliau menjangkakan pelaksanaan PKPB di beberapa negeri seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak akan memberi kesan yang teruk terhadap ekonomi.

Jelasnya, ini kerana PKPB kali ini masih membenarkan ekonomi bergerak seperti biasa terma­suk orang ramai dibolehkan untuk keluar bekerja dan premis perniagaan beroperasi.
“Kerajaan perlu membuat keputusan sebegini supaya ke­adaan tidak menjadi lebih buruk. Bagaimanapun, saya menjangkakan urus niaga secara dalam talian akan kembali meningkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI