GEORGE TOWN – Kumpulan EKA (EKA) menyasarkan jualan bagi pelbagai produk makanan berasaskan beras bakal mencapai sehingga RM60 juta pada tahun depan.
Pengerusinya, Saffie Bakar berkata, nilai unjuran pada tahun 2020 adalah sebanyak RM49 juta berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM25 juta.
Menurut beliau, jumlah unjuran tersebut mampu dicapai meskipun Kumpulan berdepan dengan persekitaran ekonomi sukar akibat pandemik Covid-19.
Ini kerana, Kumpulan mendapat sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Padiberas Nasional Bhd. (Bernas).
“Pembekal juga menyokong menghantar bahan mentah dan Kumpulan memiliki kenderaan sendiri untuk menjalankan penghantaran produk-produk ke seluruh negara walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Saffie menerangkan, sepanjang tempoh PKP pada bulan Mac lalu, pihaknya turut terkesan tetapi berjaya mengharunginya dan berniaga seperti biasa.
Tambah beliau, antara faktor yang menjadikan produk EKA seperti bihun, laksa dan mi mampu bertahan di pasaran domestik kerana ia adalah antara makanan ruji semua lapisan masyarakat.
Selain itu, Shaffie menerangkan, Kumpulan EKA dalam perancangan untuk memperkenalkan rangkaian produk baharu seperti kueteau kering, suhun dan mi sua.
“Kami juga bercadang untuk meluaskan pengeluaran dan menambahkan kapasiti kilang di kawasan Perindustrian Halal di Kuala Ketil, Kedah,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai pasaran eksport, Saffie menjelaskan, Kumpulan bercadang untuk memasarkan produk keluaran ke pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia, Kemboja, Vietnam, Filipina, Myanmar, Brunei dan Thailand.
Selain itu, pasaran India dan Taiwan juga dalam perancangan untuk ditembusi pada masa depan.