Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Pemasangan kawat berduri di 13 lokasi panas disepanjang sempadan negara di Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang berjaya mengurangkan kegiatan jenayah rentas sempadan di negeri ini.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, langkah itu juga membantu mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan pangkalan haram ke negara ini.
Menurutnya, sepanjang penugasan Op Benteng Koronavirus (Op Benteng Covid-19) bermula 16 September lalu hingga semalam, sebanyak 108 kes membabitkan rampasan berkait aktiviti penyeludupan berjumlah RM7.2 juta berjaya ditumpaskan oleh pasukan berkenaan.
“Rampasan rokok di Chabang Empat Tok Mek Ngah menjadi penyumbang terbesar kejayaan itu membabitkan nilai RM1.47 juta.
“Diikuti lembu (RM606,000) dan ayam sejuk beku (RM38,700),” katanya ketika melakukan tinjauan bersama pegawai dan anggota PGA Batalion 7 di pangkalan haram Pok Nik, Bukit Lata di sini hari ini.
Azhari memberitahu, pertambahan anggota turut dilakukan bagi memastikan kawalan sempadan negara terus berada pada tahap terbaik.
Katanya, kerjasama erat dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut digembeleng supaya Op Benteng Covid-19 mencapai objektif mengurangkan jenayah rentas sempadan.
“Rondaan berkala tetap diteruskan seperti biasa dikawasan operasi supaya jenayah rentas sempadan dapat dikurangkan,” ujarnya.
Azhari berkata, sepanjang penugasan Op Benteng Covid-19 seramai 57 PATI telah berjaya dicekup.
“PATI warga Thailand paling ramai dicekup iaitu 38 orang, Kemboja (14), Pakistan (4) dan Myanmar (1).
“Selain itu, tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat turut dicekup sepanjang tempoh tersebut,” katanya.-K! ONLINE