SIKAP degil memang tidak dapat dipisahkan daripada manusia kerana ia menjadi pemangkin kepada perubahan sifat positif atau negatif seseorang individu itu sendiri.
Degil dalam carian umum kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah tidak mahu atau tidak mudah menurut kata atau menerima nasihat, keras hati, tegar, keras kepala dan kepala batu.
Namun, yang menjadi pemasalahan apabila kedegilan itu menjadikan kita tidak acuh terhadap pematuhan prosedur standard operasi (SOP) menentang virus ‘halimunan’ iaitu Covid-19.
Biarpun telah berulang dinasihatkan dan ditegur, namun masih ramai ingkar tidak kira golongan atasan, pertengahan dan bawahan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah seringkali menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan penularan Covid-19.
“Jika tiada urusan, lebih baik duduk di rumah. Jika mahu keluar rumah kerana ada urusan penting, patuhi SOP.
“Kalau kita ambil mudah, itu satu kesilapan besar dan ketidakpatuhan kita (mungkin) akan menjadikan jangkitan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Kesannya, 563 kes direkodkan pada Isnin lalu dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Sabah bermula semalam, manakala Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor bermula hari ini.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Asrenee Ab. Razak, masalah timbul berikutan tahap literasi kesihatan masyarakat negara ini yang rendah terutama apabila terpaksa berdepan norma baharu.
Katanya, faktor lain disebabkan perasaan memberontak terhadap sesuatu larangan itu yang dianggap tidak relevan sehingga menyekat kehidupan seharian mereka.
“Ada yang beranggapan kalau tidak memakai pelitup muka atau tidak melakukan penjarakan fizikal, virus Covid-19 itu tidak akan terkena kepada mereka.
“Masyarakat kita mengambil masa untuk beradaptasi dengan norma baharu,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujar Asrenee, masyarakat juga didapati tidak memahami secara jelas kebolehjangkitan virus Covid-19 termasuk aspek kuarantin yang dikenakan walaupun disahkan keputusannya adalah negatif.
“Saya bersetuju hukuman dikenakan terhadap mereka yang ingkar kuarantin dengan keluar dari rumah terutama yang memakai gelang pink,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai khususnya tidak bersikap menghukum dan menyisihkan keluarga yang disyaki positif Covid-19 tanpa kerelaan mereka.
“Tiada siapa pun meminta menjadi pesakit Covid-19 terutama apabila mereka dijangkiti tanpa secara tidak sengaja daripada individu yang tidak mengisytiharkan diri baru pulang dari lokasi zon merah khususnya.
“Pesakit-pesakit itu akan rasa bersalah, bukan sahaja pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling, malah tekanan akan lebih dirasai apabila mereka disisihkan tanpa sebab walaupun telah menjalani kuarantin,” jelasnya.