Oleh NUR NAZLINA NADZARI
PADANG BESAR – Taman Rekreasi Gua Kelam di sini ditutup untuk lawatan pengunjung dan aktiviti riadah berikutan arus air di dalam gua yang masih deras susulan hujan lebat pada semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Fadhilah Mohamad berkata, kawasan tersebut hanya akan dibuka semula selepas keadaan kembali seperti sedia kala.
“Pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa termasuk memeriksa keadaan air di dalam gua terutama pada waktu hujan lebat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, semua aktiviti termasuk menjelajah gua dan mandi sungai adalah tidak dibenarkan sama sekali atas faktor keselamatan.
“Keadaan air akan menjadi deras dan melimpah keluar dari pintu Gua Kelam setiap kali hujan lebat,” ujarnya.
Tambahnya, lawatan ke Gua Kelam pernah ditutup pada Oktober dan November tahun lalu kerana arus air yang deras.
“Kami tidak mahu mengambil risiko dan kebiasaannya pengunjung juga tidak akan datang ke Gua Kelam pada musim hujan kerana air deras,” katanya. – K! ONLINE