fbpx

Ganjaran hampir RM3 juta untuk maklumat kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SYDNEY- Kerajaan negeri New South Wales (NSW) menawarkan wang ganjaran bernilai A$1 juta (RM2.9 juta) kepada sesiapa yang boleh memberi maklumat tentang kes pembunuhan seorang lelaki, dua tahun lalu.

Kes pembunuhan itu melibatkan mangsa bernama Mark Russell, 53, atau lebih dikenali sebagai Sharky yang maut ditikam dalam kejadian pada pagi 25 Februari 2018 di sebuah apartmen di Clisdell Street, Surry Hills.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Polis NSW, David Elliot dalam satu kenyataan kelmarin yang menggesa sesiapa mempunyai maklumat untuk tampil ke hadapan, lapor Daily Mail Australia.

Menurut siasatan awal polis, Sharky tidak berhutang dengan sesiapa atau terlibat dalam sebarang pertengkaran dengan jiran setempat.

Bagaimanapun, polis merekodkan keterangan jiran yang mendengar jeritan dari rumah bapa kepada anak dua itu pada malam sebelum kejadian berlaku.

“Kerajaan negeri NSW menawarkan A$1 juta (RM2.9 juta) kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat yang boleh membantu kes ini.

“Keluarga Sharky layak mendapat jawapan atas apa yang berlaku kepadanya. Ingat, tiada maklumat yang tidak berguna,”ujar David dalam kenyataan itu.

Sementara itu, wakil keluarga mangsa, Julie Ann Stewart memberitahu tempoh dua tahun sejak Sharky dibunuh adalah waktu sukar buat keluarga mereka.

“Dia melalui banyak waktu sukar dalam hidup tetapi tidak pernah gagal membuat orang sekeliling tersenyum dengan sifatnya yang periang.

“Kami berharap polis berjaya menangkap pihak yang membunuh dan merampas Sharky daripada kami sekaligus menegakkan keadilan buat dia,”katanya lagi.

Dalam pada itu, detektif kes, Superintendan David Laidlaw memberitahu polis masih tidak berputus asa meneliti setiap rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan bukti forensik lain bagi mencari pihak bertanggungjawab dalam kes ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI