BACHOK – Seorang pekebun terpaksa diusung oleh enam anggota polis selepas dia enggan masuk ke dalam Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk prosedur perintah tahanan reman membabitkan kes bunuh anaknya berusia lapan bulan.
Anggota polis terpaksa bertindak sedemikian selepas usaha memujuknya untuk keluar dari kereta selama 10 minit tidak berhasil.
Tidak cukup dengan itu, suspek yang tiba dengan menaiki kereta polis pada pukul 9.20 pagi dipercayai mempunyai masalah mental telah membaca pelbagai surah al-Quran dengan alasan untuk berdoa sebagai pendinding diri.
Dalam prosedur mahkamah, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan anaknya yang berusia lapan bulan sebelum ditinggalkan dalam keadaan menyayat hati di dalam guni di rumahnya di Kampung Sungai Dua di sini semalam.
Perintah reman berkuatkuasa hari ini hingga Selasa depan dikeluarkan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu oleh Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret di sini.
Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, mayat bayi berusia lapan bulan ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam guni yang ditinggalkan dalam rak di dapur rumah keluarganya.
Lebih menyedihkan, kulit leher mangsa didapati menggelupas dipercayai dilumur dengan garam kasar selain kesan lebam pada seluruh anggota badan.-K! ONLINE