fbpx

ATM bantu kuat kuasa pematuhan SOP PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 621 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu pihak berkuasa dalam penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan rondaan (MPV) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Affendi Buang berkata, melalui penguatkuasaan PKPB yang diisytiharkan bermula hari ini, seramai 396 anggota telah digerakkan di Selangor dan 225 anggota di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

“Sehingga kini melalui Ops Penawar, sejumlah 1,780 anggota melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membantu pihak berkuasa dalam penugasan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV).

“Di kawasan PKPB dan PKPDB Sabah pula, seramai 165 anggota telah diaturgerakkan melibatkan kawasan-kawasan terutamanya di Tawau, Semporna, Tambunan, Keningau dan Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, ATM juga telah mengaturgerakkan seramai 73 anggota di Kedah yang tertumpu kepada penugasan SJR dan Rondaan MPV serta Kawalan keselamatan di sekitar kawasan Penjara Pokok Sena.

Dalam perkembangan lain Affendi berkata, seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan akan ditugaskan di Hospital Medan ATM untuk jangka masa sekurang-kurangnya tiga bulan dan diletakkan di bawah pengurusan Hospital Tawau.

“ATM melalui TUDM juga turut melaksanakan penerbangan menggunakan pesawat angkut jenis C130H dari No. 20 Skuadron pada 12 Oktober 2020 lalu bagi membawa peralatan perubatan, peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan sampel ujian Covid-19 dari Sabah serta Labuan bagi menampung keperluan pusat kesihatan di negeri tersebut.

“Penerbangan tersebut juga turut membawa pulang sampel ujian Covid-19 daripada Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau untuk dihantar ke makmal-makmal di semenanjung Malaysia bagi tujuan ujian sampel,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI