KUALA LUMPUR – Pelakon Ammar Alfian mendedahkan dia sudah pun sah bercerai dengan isterinya, Nelissa Nezam secara tebus talak hari ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Perkara itu didedahkan Ammar, 33, menerusi Instagramnya hari ini dengan berkata, Nelissa perlu membayar bayaran iwad sebanyak RM7,000.
“Alhamdulillah. Hari ini mahkamah benarkan saya dan bekas isteri bercerai secara tebus talak dengan bayaran iwad dibayar oleh Nelissa kepada saya sebanyak RM7,000,” tulisnya.
Dalam hantaran itu, pelakon filem Paskal tersebut turut meluahkan perasaan syukur kerana kebenaran telah berbukti berpihak kepadanya.
“Akhirnya kebenaran telah diketahui. Selama ini dia memperbodohkan semua orang dengan menggunakan media untuk menentang saya tetapi kebenaran selalunya akan berpihak kepada yang benar.
“Sekarang satu Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan tahu perangai sebenar dia. Saya tidak akan maafkan apa yang awak telah lakukan kepada ibu dan ayah saya,” ujar Ammar.
Terdahulu, pergolakan rumah tangga Ammar dan Nelissa, 31, mula mendapat perhatian selepas wanita itu mendedahkan suaminya berlaku curang ketika dia sedang sarat hamil enam bulan pada Mei tahun lalu.
Meskipun menafikan tuduhan isterinya, namun kemelut rumah tangga pasangan itu terus berlarutan selepas Nelissa sekali lagi mendedahkan bukti paparan skrin kecurangan Ammar tidak lama selepas itu.
Januari lalu, Nelissa memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, tetapi ditolak oleh Ammar.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Mac 2016 dan menimang cahaya mata lelaki bernama Kyro Shakur yang kini berusia setahun tiga bulan. – K! ONLINE