KUALA LUMPUR – Seramai 11 anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kini sedang menjalani kuarantin kendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kesemua 11 anggota itu diarahkan jalankan kuarantin selama 14 hari susulan 19 anggota IPD tersebut disahkan positif Covid-19.
Ketika ditanya mengenai kluster dan punca sebenar anggota-anggota berkenaan mendapat jangkitan, Saiful Azly enggan mengulas lanjut.
“Kesemua polis tersebut diarahkan menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian daripada pegawai kesihatan.
“Walau bagaimanapun, operasi balai dan IPD masih berjalan seperti biasa dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 19 individu yang dikesan positif dalam Kluster Baiduri di Cheras adalah anggota polis.
“Kementerian Kesihatan masih menjalankan siasatan mengenai punca jangkitan yang dikesan ketika prapembedahan itu.
“Jadi dalam kes ini, iaitu saringan yang dijalankan adalah sebelum pembedahan dan individu tersebut didapati positif dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” ujarnya. – K! ONLINE