Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Sebanyak 10 sekatan jalan raya (SJR) bergerak akan dilaksanakan dalam tempoh dua jam sekali di lokasi berbeza seluruh daerah ini sepanjang tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, langkah tambahan itu bertujuan memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, SJR bergerak itu akan dipantau dan dikendalikan semua balai polis utama.
“Sekatan itu bagaimanapun dijalankan mengikut keperluan sama ada pada sebelah pagi, petang atau malam.
“Kita akan lebih memfokuskan kepada laluan utama memasuki kawasan Shah Alam termasuk di sekitar taman perumahan,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar penugasan SJR peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol dan pemilik restoran itu, Datuk Hakimsa Abdul Karim.
Dalam pada itu, tambah Baharudin, empat lokasi utama SJR telah dilaksanakan di semua pintu masuk ke daerah ini.
“Sekatan selama 24 jam itu melibatkan Persiaran Kayangan Seksyen 7, Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Plaza Tol Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan seramai 250 anggota termasuk pegawai ditugaskan sepanjang pelaksanaan PKPB sehingga 27 Oktober ini.
“Jumlah itu meliputi Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Pemantau Pematuhan PKPB Op Covid-19.
“Kita turut menjalankan pemantauan di semua premis perniagaan termasuk restoran bagi memastikan orang awam mematuhi SOP ditetapkan,” katanya. -K!ONLINE