PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari berkuat kuasa esok sehingga 27 Oktober depan.
Pelaksanaan itu akan melibatkan kira-kira 6.7 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur (1.8 juta) dan Putrajaya (900,000).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira kes peningkatan serta penularan yang berlaku, seperti di Klang, Petaling selain kes dilihat meningkat di Gombak dan deerah-daerah lain.
“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam, esok hingga 27 Oktober ini,” katanya.
Tambahnya, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa, namun pergerakan keluar masuk merentas daerah adalah tidak dibenarkan.
Menurut Ismail, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.
“Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
“Hanya dua orang dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan,” katanya.
Beliau berkata, senarai prosedur operasi standard (SOP) lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat.
“Saya ingin terus ingatkan kepada semua rakyat di negara ini bahawa kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Semua SOP asas PKPP masih lagi berkuat kuasa. Walaupun hampir keseluruhan sektor telah dibuka, namun masih terdapat aktiviti yang masih dalam senarai yang tidak dibenarkan,” tegasnya.