KUALA LUMPUR- Politik negara semakin bergolak apabila UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi.
“UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada Kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
“UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar MN didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Maslan, parti itu mengambil kira bahawa keadaan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi yang mesti ditingkatkan.
“Sebarang keputusan yang UMNO lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” jelas beliau.
Katanya, UMNO akan memastikan pandemik Covid-19 dapat diurus kerajaan dan pihak yang berkaitan.
Dalam pasa itu, beliau turut memaklumkan, Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 19 Disember ini. -K! ONLINE