Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Taktik memunggah daun ketum dalam kuantiti kecil menjadi modus operandi baharu penyeludup atau tentera semut untuk menyeludup bahan terlarang itu ke negara jiran menerusi laluan tikus di sepanjang sungai Golok.
Tidak cukup dengan itu, mereka akan mengumpulkan daun-daun ketum tersebut di satu kawasan yang dijadikan sebagai transit sementara sebelum di bawa keluar.
Taktik itu didedahkan oleh Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi melalui hasil siasatan dan kejayaan rampasan yang dilakukan oleh pihaknya sebelum ini.
Azhari berkata, taktik itu digunakan selepas PGA memperketatkan kawalan sempadan negara di negeri ini menerusi Op Benteng Koronavirus (Op Benteng Covid-19).
“PGA Batalion 7 mengagalkan cubaan menyeludup 111 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah semalam.
“Serbuan pertama pada pukul 7.20 malam di kawasan kebun getah dekat Kampung Jedok, Tanah Merah kita berjaya rampasan ketum seberat 17 kg yang dibungkus menggunakan plastik dalam sebuah bangsal,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di sini hari ini.
Azhari berkata, kira-kira satu jam 30 minit kemudian, pihaknya sekali lagi berjaya merampas 94 kg daun ketum dalam sebuah bangsal berhampiran Kampung Jedok.
Katanya, rampasan itu membabitkan nilai berjumlah RM3,300 dan hasil siasatan mendapati ketum-ketum itu akan diseludup menggunakan laluan tikus.
Azhari turut mendedahkan, tentera semut yang aktif menyeludup daun ketum di negeri ini sanggup mengambil risiko dengan membawa barang larangan itu dari utara tanah air untuk dibawa negara jiran menggunakan pangkalan haram. -K! ONLINE