SHAH ALAM – Syarikat Nur Sajat Aesthetic Sdn. Bhd. milik usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat didenda RM14,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas 17 pertuduhan memiliki, menjual produk tidak berdaftar dan bernotifikasi, dua tahun lalu.
Majistret Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli menjatuhkan demikian selepas syarikat tersebut sebagai Orang Kena Saman (OKS) diwakili Pengarah Bersamanya, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 35, dan Ashaari Maznan, 44, menukar pengakuan kepada bersalah.
OKS didakwa dengan 11 pertuduhan memilik produk kosmetik tidak berdaftar dan lima kesalahan memiliki kosmetik tidak bernotifikasi yang dilakukan pejabat syarikat tersebut di Jalan Serai Wangi, Seksyen 16, di sini pada 15 Ogos 2018 pukul 11.40 pagi.
Selain itu, OKS juga didakwa satu pertuduhan menjual produk tidak berdaftar kepada seorang wanita pukul 11.35 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.
Justeru, OKS telah melanggar peraturan 7 (1) (a) dan 18A (1) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 30 (1) dan 18A (15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (2) Akta Jualan Dadah 1952.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pertuduhan.
Pegawai Pendakwa Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Nor Afizah Latip memohon hukuman setimpal dikenakan berikutan OKS merupakan sebuah syarikat dikenali dan menjadi tanggungjawab memastikan produk selamat dan berkualiti untuk digunakan oleh orang awam.
“Keluaran tidak berdaftar dan bernotifikasi itu berkemungkinan bercampur dengan racun bagi mendapatkan kesan segera,” katanya.
Bagaimanapun, OKS diwakili Peguam Hasshahari Johari Mawi memohon denda RM500 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi oleh anak guamnya.
“Pengarah-pengarah (Nur Sajat dan Ashaari) memohon maaf terhadap kekhilafan dan kesilapan serta memberi akur janji lebih berhati-hati dan tidak akan melakukan apa-apa pelanggaran seterusnya,” katanya. – K! ONLINE