PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah meraih sekurang-kurangnya satu mata pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans kelmarin selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.
Hafizh yang mewakili pasukan Aspar mengakui suhu trek yang agak rendah pada perlumbaan tersebut sedikit sebanyak menjejaskan tunggangannya untuk mengejar kelompok di hadapan.
Memulakan perlumbaan di petak ke-23, pelumba berusia 26 tahun itu menampilkan aksi memberangsangkan pada awal saingan, namun keadaan trek selepas hujan mengehadkan kemampuan jentera.
“Saya memulakan perlumbaan dengan agak baik tetapi ketika cuba mengejar pelumba di hadapan selepas beberapa pusingan, saya berdepan sedikit masalah ketika melalui selekoh.
“Tayar seolah-olah kurang mencengkam gara-gara suhu trek yang agak rendah. Menamatkan perlumbaan di tempat ke-15 adalah lebih baik kerana mendapat satu mata,” jelas Hafizh.
Bekas pelumba kelas MotoGP itu menegaskan, mereka sudah berada di landasan tepat untuk bangkit serta menampilkan aksi lebih baik menjelang GP Aragon di Litar Motorland hujung minggu ini.
“Nampaknya kami sudah menemui rentak dalam dua perlumbaan terakhir. Sekarang kami perlu bekerja lebih keras dan berjuang pada perlumbaan di Aragon nanti,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin senada dengan Hafizh apabila mengakui cuaca yang tidak menentu menjadikan perlumbaan bertambah sukar.
“Keadaan cuaca cukup sukar untuk perlumbaan itu. Saya memutuskan untuk menggunakan tayar basah pada awal perlumbaan kerana bimbang hujan.
“Ketika litar semakin kering, saya masuk ke laluan pit untuk menukar jentera, namun saya tersilap kerana melanggar had laju laluan pit dan kami tersingkir daripada perlumbaan,” ujarnya.