KUALA LUMPUR – Polis akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di semua laluan sempadan keluar daerah dan negeri Selangor bermula tengah malam ini hingga 27 Oktober nanti.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan tiada sebarang pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, lokasi SJR membabitkan laluan sempadan keluar negeri Selangor ke Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.
“SJR juga akan didirikan di sempadan-sempadan daerah dalam kontinjen Selangor.
“Dalam usaha menghadapi situasi ini, polis Selangor akan mengerakkan kekuatan yang ada secara keseluruhan dan ia akan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia katanya ,”ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, selain penguatkuasaan SJR, Polis Selangor juga akan memperbanyakkan pasukan pemantauan dalam tempoh yang sama.
“Saya ingin ingatkan agar semua mematuhi apa yang digariskan sepanjang PKPB dan mana-mana individu yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk kompaun,” ujarnya. – K! ONLINE