Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Semua sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup mulai esok sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.
Penutupan sehingga 27 Oktober itu turut akan melibatkan institusi pendidikan swasta berdaftar yang mempunyai asrama.
Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, langkah itu dilakukan pihaknya bagi mematuhi arahan pelaksanaan PKPB yang diumumkan kerajaan semalam.
Menurutnya, semua bapa disaran untuk mengambil anak mereka di asrama sekolah masing-masing.
“Namun, jika ada pelajar yang mahu terus kekal di asrama, pihak institusi perlu memastikan keselamatan dan kebajikan mereka diberi perhatian sepenuhnya.
“Pemantauan itu juga perlu memfokuskan kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sepanjang tempoh PKPB,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Shahzihan, sesi pembelajaran bagi pelajar sepanjang tempoh PKPB turut perlu diberi perhatian para guru.
“Pentadbir institusi pendidikan diarah memastikan guru dan pelajar melaksanakan pembelajaran di rumah dengan kaedah yang bersesuaian,” katanya.
JAIS sebelum ini mengarahkan sesi persekolahan di semua sekolah kelolaan jabatan itu dalam daerah Petaling ditangguhkan mulai semalam.
Penangguhan itu berkuat kuasa sehingga ada sebarang arahan baharu melalui pemberitahuan rasmi oleh jabatan berkenaan. -K!ONLINE