Oleh Azizan Hashim
KEAZAMAN yang tinggi untuk meraih kemenangan merupakan faktor utama pasukan Kedah menumbangkan Perak 3-2 sekali gus muncul naib juara Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.
Ketua jurulatih skuad Helang Merah, Aidil Sharin Sahak berkata, setiap pemain yang diturunkan itu memiliki kekuatan mental serta semangat untuk memenangi perlawanan bagi mencapai impian meletak pasukan Kedah sebagai pasukan kedua terbaik.
“Saya dapat lihat keinginan tersebut dalam diri setiap pemain sepanjang 90 minit perlawanan. Jadi, tugas saya menyemarakkan lagi semangat juang mereka menjadi bertambah mudah. Tahniah saya ucapkan kepada pemain Kedah kerana berjaya melaksanakan misi ini.
“Memang perlawanan ini tidak mudah kerana Perak terkenal dengan semangat kebangkitan. Mereka memberi tekanan kepada kami terutama selepas jaringan (Renan) Alves tetapi mujur kami dapat bertahan sehingga tamat perlawanan,” kata Aidil.
Pada masa sama, ketua jurulatih itu turut menyifatkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merangkap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor sebagai teraju utama di belakang kejayaan Kedah.
“Beliau (Presiden KFA) sudah berusaha mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi pasukan. Malah, kehadirannya pada perlawanan ini turut menjadi faktor mendorong kejayaan Kedah,” katanya.
Sementara itu, Aidil yang berjaya membantu Kedah muncul naib juara Liga Super musim ini akan menyerahkan kepada KFA untuk menentukan masa depannya bersama skuad Helang Merah tersebut.