Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akur akan segala keputusan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di seluruh negeri ini bermula 12.01 tengah malam ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berikutan berikutan PKPB itu berada di bawah kuasa Kementerian Kesihatan.
“Kerajaan negeri telah menghantar cadangan balas berhubung perkara itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menunggu pengumuman rasmi kerajaan Persekutuan.
“Hubungan saya dengan kerajaan baik-baik saja dan kita bukan mengatakan ‘tidak’ sepenuhnya mengenai pelaksanaan itu di Selangor,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak penajaan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) 2021 di sini petang tadi.
Amirudin menegaskan, perkara yang dibangkitkan berhubung pelaksanaan itu sememangnya telah dibincangkan bersama semua pihak terutama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Cadangan itu antaranya melibatkan faktor lokaliti kawasan yang masih dikategorikan sebagai terkawal seperti Kuala Selangor dan tidak sepatutnya dilaksanakan PKPB.
“Justeru, cadangan balas kepada MKN itu bukan keputusan unilateral atau sebelah pihak semata-mata,” katanya. -K! ONLINE