fbpx

Rakyat masih perlukan bantuan sosial daripada kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu bimbang dalam pe­ngiraan soal hutang negara yang terus meningkat demi membantu rakyat yang kini semakin bimbang memikirkan tentang kelang­sungan hidup ekoran penularan kes Covid-19 yang semakin serius.

Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Malaysia masih memiliki kapasiti untuk membuat pinjaman dan masih ada kecairan dalam negara bagi memenuhi keperluan tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat bahawa kerajaan perlu menghulurkan bantuan kepada rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah bagi memastikan mereka dapat mengharungi cabaran ekonomi yang sukar kini.

 

“Tak perlu bimbang soal hutang ketika banyak isi rumah di negara ini yang gusar tentang hari esok, penjual nasi lemak mi­salnya, mereka tak pasti sama ada masih boleh berniaga pada keesokan hari.

“Ada yang bertanya mampukah kerajaan untuk terus berbelanja, jawapannya adakah kerajaan mampu untuk tidak berbelanja dalam keadaan sekarang?” kata­nya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pembentangan kajian Kebajikan di Malaysia Me­rentas Tiga Dekad, Keadaan Isi Rumah 2020 oleh KRI secara maya semalam.

Nor Mohamed diminta me­ngulas sama ada pakej rangsa­ngan ekonomi bernilai RM305 bilion yang telah diumumkan kerajaan bulan lalu mencukupi atau kerajaan perlu terus mengumumkan pekej bantuan baharu untuk rak­yat.

Turut hadir tokoh ekonomi, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan penyelidik KRI, Hawati Abdul Hamid serta Adam Manaf.

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini, langkah yang menggusarkan banyak perniagaan dan golongan yang bekerja sendiri.

Pandangan tersebut turut disokong Jomo yang menyatakan dalam mesyuarat Tabung Kewa­ngan Dunia (IMF) minggu lalu turut membincangkan tentang keputusan untuk memberi penekanan keperluan kepada kerajaan untuk berbelanja membantu rakyat.

“Memang ada yang risau dengan pandangan agensi penarafan kredit dan sebagainya, tetapi pandangan agensi seperti ini bukan selalunya tepat, kita perlu mengutamakan kepentingan masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI