Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) menutup sementara enam taman-taman awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan selaras arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok.
Dalam kenyataan akhbar, PPj memaklumkan, penutupan itu bermula esok hingga 27 Oktober ini.
Menurutnya, taman-taman awam terbabit adalah Taman Wetland Putrajaya, Taman Wawasan, Taman Putra Perdana, Taman Botani Putrajaya, Taman Saujana Hijau dan Taman Rimba Alam.
“Selain itu, PPj turut mengumumkan penutupan sementara kemudahan kompleks sukan, pusat pembelajaran kejiranan dan kompleks kejiranan seliaannya atas saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kemudahan yang ditutup termasuk Taman Cabaran (Presint 5), Padang Bola Sepak Sintetik (Presint 8), Kompleks Futsal (Presint 18) dan Kompleks Sukan Taman Pancarona.
“Selain itu, turut ditutup ialah Pusat Pembelajaran Kejiranan di Presint 8, 9, 11, dan 16. Kemudahan lain ditutup adalah Kompleks Kejiranan di Presint 9, 11 dan 16 selain Dewan Serbaguna Presint 8,” katanya.
Dalam pada itu, Marina Putrajaya Sdn. Bhd. turut mengumumkan penutupan bagi operasi Marina Putrajaya, Cruise Tasik Putrajaya, Kompleks Sukan Air Putrajaya dan Pusat Rekreasi Air Putrajaya.
Sementara itu, polis Ibu Pejabat Daerah Putrajaya akan melakukan empat sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Putrajaya menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner, Mohd. Fadzil Ali berkata, empat Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dibuat sekitar Putrajaya menjelang pelaksanaan PKPB mulai tengah malam ini.
SJR itu di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuh Raya Maju (Mex Expressway), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil, Persiaran Utara Pintu Dua A menghala ke Kajang dan Persiaran Utara Pintu Tiga menghala ke Puchong.
Menurutnya, seramai 188 pegawai dan anggota terlibat pada operasi berkenaan mengikut penggiliran tiga syif.
“Orang awam perlu boleh memohon kebenaran merentas daerah daripada Ketua Balai Presint 7 dan Presint 11,” katanya.
Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah salah satu kawasan yang terbabit arahan pelaksanaan PKPB selama 14 hari bermula esok selain Selangor dan Kuala Lumpur. -K! ONLINE