Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL.
SEPANG – Polis sedang memburu dua lelaki termasuk ketua Geng Kana yang dipercayai terbabit dalam kes pecah stor dan melarikan kenderaan di kawasan Lembah Klang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seorang lelaki yang diburu adalah Supramaniam G. Arumugam, 43, berasal dari Dengkil yang juga ketua kumpulan berkenaan.
“Seorang lagi yang sedang dijejaki hanya dikenali sebagai Ananda. Ketua kumpulan penjenayah ini mempunyai 10 rekod jenayah lampau membabitkan kes curi.
“Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak akhir tahun lalu yang aktif mencuri dan meleraikan komponen kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Kamarul berkata, dua suspek berkenaan dikehendaki polis susulan penahanan tujuh orang lelaki dipercayai ahli geng tersebut di Kampung Pulau Meranti Puchong dekat sini pada 8 Oktober lalu.
“Mereka terdiri daripada seorang lelaki Melayu, tiga lelaki India dan tiga lelaki Myanmar berperanan sebagai mekanik meleraikan kenderaan yang dicuri.
“Kesemua tangkapan tersebut berusia lingkungan 19 hingga 40 tahun dan hasil siasatan lanjut dua daripada mereka mempunyai lima rekod lampau kesalahan berkaitan dadah.
“Mereka dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk stor di Cyberjaya pada 5 Oktober lalu dan dipercayai melarikan dua buah kenderaan serta beberapa peralatan lain,” katanya.
Katanya, hasil tangkapan, polis berjaya menyelesaikan sebanyak lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Sepang, dan satu kes masing-masing di Serdang dan Wangsa Maju dengan nilai rampasan kira-kira RM400,000.
Polis juga berjaya merampas kenderaan berat antaranya Forklift jenis Toyota 3.5 tan; dua buah lori jenis Isuzu; sebuah lori jenis Mitsubishi; sebuah lori jenis Daihatsu; sebuah backhoe; sebuah kenderaan jenis Ford Ranger selain dua buah kenderaan jenis Iswara.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan suspek yang masih bebas giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379 A Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE