fbpx

Pendarahan berlebihan selepas bersalin punca wanita maut di pondok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PONDOK yang merupakan lokasi seorang bayi lelaki dijumpai di sisi mayat ibunya di Jalan Parit, Kampung Piandang, Pusing di Batu Gajah kelmarin.

Oleh ASLIZA MUSA

BATU GAJAH – Punca kematian seorang wanita warga Indonesia yang mayatnya ditemui bersama bayi lelaki yang masih hidup di kebun kelapa sawit di Pusing kelmarin adalah disebabkan oleh pendarahan yang banyak selepas bersalin.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, laporan bedah siasat dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh juga menunjukkan tiada unsur jenayah dikesan pada mayat mangsa.

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suami mangsa dan waris lain wanita itu.

“Lokasi mayat itu ditemui adalah pondok sementara tempat pekerja ladang berehat.

“Setakat ini tiada mana-mana individu yang tampil bagi membantu siasatan dan kita sedang mengesan waris mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang mengesan individu yang menghubungi pihak polis bagi memaklumkan penemuan mayat wanita itu dan bayi lelakinya yang masih hidup.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan perkara tersebut diminta tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan, seorang bayi lelaki yang baharu lahir ditemui dalam keadaan dibalut dengan kain dan menangis tidak berhenti-henti di sisi mayat ibunya di sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit di Jalan Parit, Kampung Piandang dekat Pusing di sini kelmarin.

Semasa ditemui pada pukul 6.45 petang itu, mayat wanita itu ditutup dengan sehelai kain manakala bayi tersebut telah dipotong tali pusat dan uri.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI