fbpx

Nelydia Senrose diperintah bayar RM89,144

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nelydia Senrose

KUALA LUMPUR – Pelakon Nelydia Senrose diperintah membayar ganti rugi RM89,144.03 kepada syarikat produk kecantikan Chriszen Malaysia Sdn. Bhd. yang memenangi kes saman berhubung pelanggaran perjanjian sebagai duta jenama bagi produk itu tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah memerintahkan Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 26, selaku defendan kedua membayar ganti rugi itu selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat tersebut.

Dalam penghakimannya, Shamsudin berkata mahkamah membuat keputusan selepas mendapati pelakon filem Jebat tersebut tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasnya sebagai duta jenama tersebut.

“Defendan lebih mementing dan mengutamakan bulan madu perkahwinannya daripada mematuhi perjanjian sebagai duta jenama itu. Oleh itu mahkamah mendapati alasan sebenar mengapa beliau tidak menghadiri acara pelancaran adalah kerana bulan madu dan bukannya plaintif tidak memberi notis secukupnya,” kata Shamsudin.

Beliau berkata, selain itu mahkamah mendapati  Nelydia sendiri telah mengetahui bahawa dia tidak dapat hadir pada acara tersebut namun hanya menunggu 19 hari kemudian untuk memaklumkan kepada plaintif ketidakhadirannya.

“Melalui keterangan yang mana satu mesyuarat telah diadakan atas inisiatif plaintif pada 12 April 2019 yang mana jika tidak kerana mesyuarat itu, plaintif sendiri tidak tahu defendan tidak dapat hadir pada hari acara tersebut,” katanya lagi.

Berikutan itu Shamsudin berkata atas imbangan kebarangkalian mahkamah berpendapat plaintif berjaya membuktikan saman kes dan defendan kedua gagal membuktikan pembelaannya.

Mengenai kos perkhidmatan RM102,275 yang sepatutnya dikembalikan kepada plaintif, mahkamah mendapati Nelydia sendiri telah membelanjakan RM40,000 bagi sesi fotografi.

Justeru mahkamah memerintahkan Nelydia perlu mengembalikan kos perkhidmatan RM62,275, ganti rugi khas penyediaan acara sebanyak RM16,869.03, dan ganti rugi am RM10,000 serta kos mahkamah RM10,000.

Terdahulu Shamsudin memberitahu pada 13 Ogos 2019 penghakiman ingkar telah dimasukkan terhadap Alfie Management yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan pertama dalam kes saman berkenaan.

Dalam prosiding itu, Chriszen diwakili peguam Lim Sin Yee, manakala Nelydia tidak hadir diwakili peguam Amirul Izzat Hasri dan Lim Zi-Han.

Chriszen Malaysia Sdn. Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Gee, Lee & Tan pada 7 Oktober 2019 dengan menamakan Alfie Management Sdn. Bhd. dan Nelydia Senrose masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan terpinda plaintif mendakwa sekitar Mac 2019 defendan kedua telah bersetuju untuk menghadiri satu acara pelancaran media ‘Match Matte Serum Foundation’ yang akan berlangsung pada 25 April 2019.

Dakwa plaintif bagaimanapun pada 12 April tahun sama plaintif dimaklumkan bahawa defendan kedua tidak akan menghadiri acara tersebut tanpa sebab yang munasabah.

Pada masa sama, plaintif berkata, defendan pertama tidak mengambil apa-apa langkah untuk membetulkan ketidakhadiran defendan kedua atau memberi penjelasan yang munasabah.

Ujar plaintif, ekoran ketidakhadiran defendan kedua telah menyebabkan reputasi plaintif  tercalar.

Kata plaintif selaras dengan perjanjian itu, pada 22 April 2019 satu email telah dihantar kepada defendan-defendan sebagai notis pembetulan pelanggaran perjanjian itu yang boleh dilakukan mereka dalam tempoh 30 hari.

Namun defendan-defendan telah gagal untuk memperbetulkan pelanggaran terma-terma perjanjian pada tempoh yang telah ditetapkan termasuk tidak membalas email.

Justeru plaintif berkata mereka berhak menuntut daripada defendan-defendan pelepasan saksama yang saksama dan ganti rugi.

Oleh demikian plaintif menuntut secara bersama kos perkhidmatan berjumlah RM102,275 dan kerugian RM61, 702, ganti rugi am, faedah dan apa-apa perintah atau relief yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI