LIVERPOOL – Bekas pemain Liverpool, Danny Murphy memberi amaran bahawa pasukan itu berdepan bahaya menjelang aksi menentang seteru setempat, Everton hujung minggu ini.
Kekalahan memalukan 2-7 kepada Aston Villa sebelum ini memberikan kesan mendalam kepada Liverpool yang mempunyai rekod cemerlang sebelum aksi berkenaan berlangsung.
Bagaimanapun, Murphy percaya kekalahan itu akan membangkitkan semangat para pemain Liverpool biarpun mereka bakal berdepan tentangan sengit Everton yang memiliki rekod kemenangan bersih dalam empat perlawanan awal musim ini.
“Buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun para peminat Everton mula mengharapkan kemenangan pada setiap aksi melibatkan pasukan mereka tetapi mereka perlu sentiasa berhati-hati terutama apabila berdepan pasukan seperti Liverpool.
“Kita semua tahu bahawa anak-anak buah Jurgen Klopp memiliki karakter tersendiri. Mereka berjaya melepasi pelbagai halangan sejak beberapa musim lalu. Jadi, kekalahan di Villa Park tempoh hari tidak patut dijadikan satu ukuran.
“Jika saya menjadi sebahagian daripada pemain Everton, saya akan menjadi lebih berhati-hati apabila melihat Liverpool berdepan kekalahan seperti itu. Seekor haiwan yang terluka, mereka pasti bertukar menjadi lebih ganas,” katanya.
Murphy percaya beraksi di stadium kosong di Goodison Park mampu memberikan kelebihan kepada Liverpool.
“Beraksi di laman sendiri sentiasa memberikan kelebihan kepada Everton sebelum ini kerana memiliki penyokong yang hebat, namun situasi terkini nampaknya memberikan kelebihan kepada Liverpool,” jelasnya. – AGENSI