PUTRAJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh Lembah Klang berikutan kadar peningkatan kes baharu Covid-19 di kawasan tersebut naik mendadak berbanding sebelum ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun bilangan kes harian di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan kurang daripada 100 kes sehari, namun ia secara konsisten mencatatkan kes baharu setiap hari.
Menurutnya, kes yang dilaporkan juga berselerak di Lembah Klang dan mula menular ke semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.
“Jadi kita tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Apa yang penting untuk kita faham penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bergantung kepada sesuatu kawasan dan bukan hanya berlandaskan bilangan kes positif harian tetapi melihat corak penularan jangkitan di dalam sesuatu negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dari kediamannya dan ditayangkan secara langsung dalam Facebook Kementerian Kesihatan di sini semalam.
Noor Hisham berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan drastik oleh kerajaan melaksanakan PKPB di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari berkuat kuasa esok.
Beliau berkata, sekiranya penularan tertumpu kepada satu atau dua daerah, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.
“Namun, jika penularan jangkitan ke setiap daerah dan negeri serta terus merekodkan kes baharu iaitu berselerak di Lembah Klang, bermakna jangkitan tidak lagi dapat dibendung dengan berkesan dan kawalan sempadan untuk daerah di Selangor serta Wilayah Persekutuan amat sukar.
“Pendekatan terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan dengan melaksanakan PKPB di seluruh negeri supaya penularan jangkitan rentas daerah atau negeri dapat dikawal dan dibendung lebih berkesan,” katanya.
Berhubung kes baharu, Noor Hisham berkata, sebanyak 563 kes baharu direkodkan yang turut disumbangkan daripada enam kluster baharu di samping dua kematian baharu direkodkan.
Enam kluster berkenaan ialah Kluster Baiduri di daerah Hulu Langat, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur dan Kluster Bah Perdana di Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Kluster Bah Tropicana pula dikesan di daerah Petaling, Selangor dan Kluster Bah Kasturi pula dikenal pasti melibatkan beberapa tempat iaitu Seremban di Negeri Sembilan selain Cheras, Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat di Selangor serta Putrajaya.
Beliau berkata, selain itu, Kluster Kolong pula dikesan di Keningau, Sabah dan Kluster Rinting pula dikesan melibatkan daerah Melaka Tengah, Melaka dan Johor Bahru, Johor.
Sementara itu, beliau berkata, dua kematian baharu yang dilaporkan adalah di Sabah melibatkan wanita berusia 85 tahun di Hospital Tawau, manakala kematian ke-159 melibatkan wanita berusia 48 tahun di Hospital Tuaran.