fbpx

Kastam rampas lebih 100,000 liter bir bernilai RM616,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kastam merampas bir bernilai RM616,000 di Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Oktober lalu.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras jenis bir dengan penahanan enam buah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Dalam operasi pada 7 Oktober lalu itu, sejumlah 102,144 liter bir yang dianggarkan bernilai RM616,000 berjaya dirampas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill of Lading) dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan dagangan dalam enam buah kontena tersebut telah diikrarkan sebagai barangan peralatan bilik mandi dan perabot dari salah sebuah negara di Asia Timur.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui bir pelbagai jenama dimuatkan di dalamnya dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM3 juta.

“Dagangan bir tersebut telah diletakkan di bahagian belakang kontena manakala barangan-barang lain seperti yang diikrarkan termasuk tisu tandas diletakkan di bahagian hadapan kontena.

“Tindakan ini adalah bagi melindungi bir-bir tersebut daripada dikesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Johari berkata, siasatan awal mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah.

“Kesemua kontena ini telah tiba di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 18 dan 21 September lalu.

“Tiada pengikraran Borang Import (K1) dibuat oleh pengimport ke atas dagangan tersebut,” katanya.

Tambah Johari, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket itu sedang dikesan.

“Sehingga kini syarikat perkapalan telah disoal siasat bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI