BEKAS penyanyi kumpulan Stellar, Gayoung mengakui sentiasa mengenakan baju dan seluar panjang biarpun pada musim panas ekoran trauma yang dihadapinya ketika bersama kumpulan itu.
Perasaan tersebut mula menghantuinya apabila sering dipaksa membawa imej seksi melampau dengan kostum pakaian menjolok mata.
“Saya impikan menjadi penyanyi kumpulan yang comel dan polos tetapi sayangnya kami tidak dikenali. Jadi konsep kami ditukar kepada imej seksi melampau. Saya tidak tahu untuk rasa sedih atau gembira kerana selepas menukar imej, jadual kerja kami sentiasa penuh,” ujarnya ketika muncul menerusi program Miss Back terbitan MBN.
Tambah Gayoung, dia dan rakan-rakan lain cuba menolak daripada memakai kostum seksi yang diberikan ketika menjalani penggambaran video muzik lagu, namun sia-sia.
“Kami tiada pilihan. Selepas itu mereka menerbitkan gambar-gambar kami. Sehingga kini saya jadi trauma dan tidak pernah pakai pakaian pendek,” katanya.
Lebih memedihkan, dia masih ingat kata-kata hinaan dan cacian yang diterima oleh ibunya ketika gambar-gambar seksi bersama Stellar mula menjadi perhatian.
“Ibu saya terpaksa hadam kata-kata orang yang mempertikaikan kenapa anaknya berpakaian seksi,” katanya.