Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh semakin pening selepas tiga lagi pemainnya diusung ke bilik rawatan, sekali gus menambah senarai kecederaan pemain pasukannya.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu berkata, Adam Reed, Faisal Abdul Halim dan Zuhair Aizat Nazri menjadi pemain terbaharu mengalami kecederaan selepas Dickson Nwakaeme, Harold Goulon dan R. Dinesh.
Begitupun, Dollah berharap penundaan tarikh sepak mula Piala Malaysia diharap memberi rahmat untuk beliau mengumpul kesebelasan utama skuad Tok Gajah sebelum kejohanan berprestij berkenaan membuka tirai.
“Tarikh sepak mula Piala Malaysia pada 25 Oktober ini sedikit sebanyak beri kebaikan kepada Pahang. Saya percaya dengan pulihnya tonggak utama, kami mempunyai pasukan yang mantap.
“Goulon mungkin sempat pulih, tapi saya tidak pasti dengan peluang Nwakaeme kerana kecederaannya agak teruk,” katanya selepas aksi terakhir Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu kelmarin.
Pada aksi itu, skuad Tok Gajah tumbang 1-2 dalam aksi derbi Pantai Timur sekali gus terpaksa berpuas hati menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ketujuh manakala Terengganu FC gah di kedudukan ketiga.
Dollah berkata, beliau optimis Adam dan Dinesh yang masing-masing mengalami kecederaan hamstring dan bahu mampu pulih dalam tempoh dua minggu.