BRISBANE, Australia – Virus Covid-19 boleh hidup di atas permukaan licin seperti wang kertas dan telefon bimbit sehingga 28 hari sekiranya keadaan sejuk serta gelap, demikian menurut kajian agensi sains kebangsaan Australia.
Pasukan penyelidik daripada agensi berkenaan yang dikenali sebagai Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO), menguji jangka hayat virus Covid-19 di dalam gelap pada tiga suhu berbeza.
Kajian itu menunjukkan jangka hayat koronavirus bertambah singkat dalam persekitaran yang semakin panas, kata CSIRO semalam.
Pasukan saintis sama mendapati pada suhu 20 darjah Celsius, jangka hayat virus Covid-19 ‘amat kuat’ pada permukaan licin seperti skrin telefon pintar, kaca, besi dan wang kertas plastik, malah, kuman itu mampu hidup sehingga 28 hari.
Pada suhu lebih tinggi 30 darjah Celsius pula, jangka hayat koronavirus menurun kepada tujuh hari.
Jangka hayat kuman tersebut merosot kepada cuma 24 jam jika suhu mencecah 40 darjah Celsius .
Bagaimanapun, virus Covid-19 hidup lebih singkat pada permukaan berliang seperti kapas iaitu sehingga 14 hari jika suhu paling rendah dan 16 hari pada suhu paling tinggi iaitu 40 darjah Celsius.
Pengarah Pusat Persediaan Penyakit Australia, Trevor Drew berkata, kajian itu melibatkan mengeringkan sampel virus Covid-19 pada bahan berlainan sebelum mengujinya. – AFP