DAMSYIK – Presiden Syria, Bashar al-Assad mengisytiharkan bencana negara hari ini selepas memeriksa tanaman yang musnah dalam kebakaran di rantau sebelah Laut Mediterranean di negara itu.
Kira-kira 25,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali gus tamparan terhadap rantau berkenaan yang berfungsi sebagai ‘jelapang padi’ kerajaan Bashar.
Kebakaran itu yang berlaku ketika cuaca panas dan kering pada Jumaat lalu telah memusnahkan tanah pertanian dan hutan seluas lebih 9,000 hektar di wilayah pesisir pantai Latakia dan Tartus di samping Homs.
Di wilayah paling teruk terjejas iaitu Latakia, tiga orang meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 70 yang lain dimasukkan ke hospital, kata Pejabat Hal Ehwal Kemanusiaan PBB.
Bashar menjanjikan sokongan kepada penduduk di kawasan terjejas terutamanya petani yang tanaman mereka musnah.
“Ini adalah bencana negara. Bencana kemanusiaan, ekonomi dan alam semula jadi,” kata Bashar.
Kebakaran hutan kerap berlaku di Syria pada penghujung musim panas, begitu juga di negara jirannya, Israel, Lebanon dan Cyprus. – AFP