KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pukul 11 pagi ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, agenda pertemuan itu bagaimanapun bukan untuk mempersembahkan jumlah sokongan yang diterima ahli parlimen itu.
“Pertemuan itu adalah sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong oleh Anwar yang mendakwa dirinya Ketua Pembangkang yang tertangguh sebelum ini. Beliau yang memohon menghadap baginda.
“Tiada kena mengena dengan mempersembahkan sokongan Ahli Parlimen, tetapi jika beliau ingin mempersembahkan juga sokongan (ahli parlimen), boleh serahkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ahmad Fadil berkata, walaupun Anwar mempersembahkan sokongan yang diterimanya kepada Yang di-Pertuan Agong, perkara itu masih perlu dirujuk kepada Perdana Menteri dan Dewan Rakyat sebagai platform yang utama.
Anwar pada 23 September lalu mengumumkan beliau sudah mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Beliau dijadualkan mengadap Yang di-Pertuan Agong, namun terpaksa ditangguhkan selepas Seri Paduka telah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara.
Sehubungan itu, beliau telah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Media semua sudah menunggu untuk melaporkan berita terkini dari istana.
Suasana di pintu Istana Negara dipenuhi petugas media yang menunggu ketibaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah pagi ini. pic.twitter.com/wEDQwUUUM4
— Kosmo! Online (@kosmo_online) October 13, 2020