fbpx

Wanita sarat mengandung, suami ditahan mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh ASLIZA MUSA

BATU GAJAH – Seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan ditangkap bersama suaminya kerana mencuri di sebuah pasar mini di Lebuh Dewangsa di sini hari ini.

Wanita berusia 20 tahun yang merupakan seorang suri rumah itu ditahan bersama suaminya berusia 29 tahun di rumah mereka di Desa Changkat di sini pada pukul 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, tangkapan dilakukan setelah pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang merupakan pekerja di pasar mini berkenaan semalam.

Katanya, pasangan suami isteri itu disyaki mencuri beg pinggang milik pengadu berusia 21 tahun yang diletakkan di belakang kaunter pembayaran.

“Kehilangan beg itu disedari pengadu pada pukul 4 petang kelmarin, ketika dia mahu mengambil wang untuk membeli minuman.

“Pemeriksaan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati beg tersebut telah diambil seorang pelanggan wanita di mana suspek membawa beg tersebut ke bahagian belakang kedai sebelum menyorokkannya di dalam baju mengandung,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, anggaran kerugian yang dialami mangsa berjumlah RM400 termasuk telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM130.

Katanya, operasi mengesan kedua-dua suspek segera dijalankan sebelum berjaya diberkas hari ini dengan kesemua barang yang dicuri berjaya dirampas kecuali wang tunai RM130.

“Hasil siasatan awal, pasangan suami isteri yang mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah itu mengaku terlibat dengan kes yang disiasat.

“Kedua-dua mereka direman hari ini di Mahkamah Majistret Batu Gajah di mana suami suspek direman tiga hari manakala wanita yang sarat mengandung itu direman sehari sahaja,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI