fbpx

Tumpahan minyak di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Veerapan (tengah) meninjau lokasi berlakunya kejadian tumpahan minyak di Pantai Cermin, Batu 10 di sini hari ini.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

PORT DICKSON – “Saya terbau minyak yang sangat kuat, saya sangka ada orang yang tengah meracun,” kata pembantu tadbir di pangsapuri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ismawani Ahmad, 34.

Dia merupakan individu yang membuat hantaran di Facebook yang memaklumkan berlakunya kejadian dipercayai tumpahan minyak di Pantai Cermin, Batu 10, dekat sini hari ini.

Ismawani berkata, pada pukul 10 pagi tadi dia terbau minyak dan hanya menyangka terdapat tukang kebun sedang meracun di kawasan berdekatan.

“Tetapi selepas itu pada pukul 11.30 pagi saya keluar bangunan dan masih terlalu kuat bau minyak tersebut. Saya fikir mungkin orang buat semburan asap ‘fogging’ tanpa menyangka berlaku tumpahan minyak di pantai berhampiran.

“Pada waktu rehat iaitu pukul 1.10 petang tergerak hati nak menjengah ke pantai sebab masih tidak tahan dengan bau minyak yang terlalu kuat. Saya dapati air laut hitam pekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, selepas melihat tumpahan itu dia terus mengambil gambar dan video dan berkongsi di kumpulan Facebook ‘Port Dickson Area (official)’ supaya perkara berkenaan dapat dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

“Saya terus mengambil gambar dan video lalu hantar ke kumpulan Facebook bagi kawasan Port Dickson untuk meminta pendapat penduduk sekitar Port Dickson pihak mana yang perlu dirujuk dan dibuat laporan berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan yang meninjau ke lokasi kejadian berkata, punca tumpahan minyak tersebut masih belum dikenal pasti namun sisa tumpahan tersebut telah mencemarkan sepanjang tiga kilometer di pantai tersebut.

“Kami masih lagi tidak lagi mengetahui punca tumpahan minyak yang berlaku namun mengesyaki minyak ini adalah daripada minyak enjin kapal. Kami tunggu dapat sampel ini dan pihak Jabatan Marin akan jalankan siasatan.

“Bagaimnapun, siasatan masih dijalankan dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah ambil sampel dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui punca tumpahan terbabit,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan akan dilakukan sama ada oleh pihak yang terlibat atau akan ditanggung oleh kerajaan atau kapal yang terbabit.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak datang ke pantai berkenaan sehingga kerja-kerja pembersihan di pantai berkenaan selesai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI