fbpx

Tiga beranak terpaksa berteduh di bangsal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LETCHUMI berdiri di sisi bangsal yang menjadi tempat tinggalnya bersama suami dan seorang anak di kawasan tanah berhampiran Stesen KTMB Klang. – ABDUL RAZAK IDRIS

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

KLANG – Sudah jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib malang menimpa tiga beranak yang kehilangan tempat berteduh sejak Ogos lalu akibat satu kebakaran.

Pada asalnya, kehidupan S. Letchumi, 28, dan suami, M. Nagaraj, 38, serta enam anak berusia enam hingga 15 tahun agak selesa apabila mendiami rumah milik majikan berhampiran Stesen­ Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Klang.

Dalam kejadian pada 27 Ogos lalu, rumah tersebut hangus dalam satu kebakaran sehingga­ keluarga itu tinggal sehelai sepinggang.

Letchumi, 28, berkata, sebelum ini, suaminya serta enam anak mendiami rumah ber­kenaan sejak 10 tahun lalu.

Nagaraj yang bekerja sebagai buruh kasar telah diberikan kemudahan untuk tinggal di rumah milik majikannya itu secara percuma.

“Suami saya bekerja berhampiran kawasan ini dengan gaji harian RM40 dan kami tidak mampu­ untuk menyewa rumah lain.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk membina bangsal khemah ini sebagai tempat berteduh bersama anak bongsu kami terutama pada siang hari,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima bantuan keperluan harian daripada Pertubuhan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Bandar Botanik Klang dan Persatuan Kebajikan Suara Rakyat Selangor (SPV), di sini semalam.

Situasi keluarga itu makin tersepit apabila mereka berada di dalam kawasan Mukim Klang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari bermula Jumaat lalu.

Letchumi memberitahu, lima lagi anaknya ditempatkan di rumah perlindungan di sekitar da­e­rah ini susulan keadaan bangsal khemah yang kecil.

“Saya bersama suami dan anak bongsu pula akan bermalam (bergelandangan) di Lorong Seri Andalas berikutan takut keha­diran haiwan berbisa terutama ular pada waktu malam.

“Saya cuma berharap ada pihak memberi bantuan tempat tinggal supaya kami sekeluarga dapat tinggal bersama,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi PDK Bandar Botanik Klang, Datuk Shahbudin Monil berkata, pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tempat tinggal keluarga itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI