TIADA manusia normal mahu dijangkiti penyakit dan seboleh mungkin berusaha mengelak dijangkiti apa sahaja jenis penyakit yang wujud di muka bumi ini.
Mereka tahu dijangkiti penyakit tidak setakat membebankan diri, tetapi membelenggu emosi ahli keluarga dengan kebimbangan dan kesedihan.
Aktiviti harian seperti keluar bekerja atau beriadah bersama keluarga turut terjejas apatah lagi jika didiagnosis dengan wabak paling berbahaya ketika ini Covid-19.
Namun dijangkiti penyakit selepas berusaha untuk mengelak bukan bermakna ia pengakhiran kepada sebuah kehidupan.
Ia sebaliknya permulaan kepada jihad mempertahankan nyawa seperti dituntut agama dengan mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun sangat menyedihkan apabila Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus baru-baru ini mendedahkan tentang sikap sebilangan anggota masyarakat terhadap pesakit Covid-19.
Beliau mendedahkan terdapat individu tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat pesakit Covid-19 di media sosial.
Waris dan pesakit Covid-19 terbabit kemudian ditohmah dan dikecam dengan bahasa kesat oleh orang ramai.
Paling menyedihkan anak-anak mereka diberi gelaran anak bapa Covid-19. Mereka yang bekerja di premis disahkan ada kes positif Covid-19 dipulaukan.
Nor Azimi turut mendedahkan ada individu dilarang menghantar anak ke Taska disebabkan bekerja di premis dikaitkan dengan kes positif Covid-19.
“Tohmahan dan kecaman masyarakat mendatangkan ketakutan melampau kepada kanak-kanak ini,” kata beliau.
Pendedahan itu menimbulkan tanda tanya tentang sikap anggota masyarakat yang terlalu mementingkan diri semasa berhadapan ancaman global.
Mungkin juga mereka sangat bimbangkan jangkitan wabak, namun mengaibkan dan mencemuh individu yang dijangkiti adalah sikap pentingkan diri.
Malang sekali sikap pentingkan diri tidak dapat didiagnosis melalui ujian calitan supaya dapat dikenal pasti dan diberi ‘rawatan’ sewajarnya.
Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Firdaus Abdul Gani pada 31 Mac lalu pernah menulis bahawa ketakutan atau kebimbangan melampau boleh mendatangkan kesan emosi yang serius bagi sesetengah individu.
Menurut beliau, terdapat banyak kajian mengenai gejala gemuruh, kemurungan, tekanan jiwa dan kecelaruan pasca trauma akibat pandemik.
Jelas beliau, masalah kesihatan mental bukan hanya berpunca daripada ketakutan atau kebimbangan mengenai penyakit, tetapi juga disebabkan keadaan itu menjejaskan kewangan dan aktiviti harian.
Justeru, orang ramai disaran mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang, bersenam, mendapatkan tidur yang cukup, mengurangkan pengambilan minuman berkafein serta mengelakkan pengambilan alkohol, rokok dan dadah.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar meneruskan jadual atau rutin harian yang teratur serta berehat secukupnya. Teknik relaksasi seperti kawalan pernafasan, mendengar muzik serta mengendurkan otot dapat membantu mengurangkan rasa gemuruh,” katanya.
Jika mereka yang pada pandangan penulis mungkin terlalu mementingkan diri itu sebenarnya mengalami gejala seperti dinyatakan MPA, maka ada harapan besar sikap menjengkelkan mereka dapat dipulihkan segera.