fbpx

Temu janji akad nikah 29 pasangan ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penangguhan itu melibatkan semua temujanji yang telah dibuat sebelum atau pada Rabu minggu lalu. - Gambar hiasan.

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Temujanji majlis akad nikah seramai 29 pasangan yang dijadualkan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam (PAID) Klang ditangguhkan berkuatkuasa mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, penangguhan itu melibatkan semua temujanji yang telah dibuat sebelum atau pada Rabu minggu lalu.

Menurutnya, kesemua 29 pasangan pengantin itu dikenalpasti berada dari Zon Klang dan Zon Kapar.

“Penangguhan itu dibuat berikutan larangan bagi semua aktiviti di masjid dan surau oleh JAIS di seluruh daerah Klang selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jumaat lalu.

“Sebarang temujanji akad nikah individu terlibat di PAID Klang akan dijadualkan semula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelas Mohd. Shahzihan, sebarang perkembangan terkini berkaitan pelaksanaan majlis akad nikah di daerah Klang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Muka depan Kosmo! sebelum ini melaporkan suasa­na di PAID Klang seperti majlis gra­duasi apabila ratusan bakal pengantin beratur me­nunggu giliran untuk dinikahkan.

Upacara mengikut prosedur operasi standard (SOP) itu berlangsung selama 15 jam bermula pukul 9 pagi Khamis lalu sebelum kesemua 118 pasangan mempelai yang sepatutnya melangsungkan per­kahwinan dalam tempoh dua minggu ini berjaya dinikahkan secara bergilir-gilir.

Pasangan pengantin bertindak demikian susulan pengumuman kerajaan yang mengaktifkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Klang selama 14 hari bermula Jumaat lalu.

JAIS telah menyediakan lima pendaf­tar nikah untuk upacara itu dan proses pernikahan juga tidak mengambil masa panjang dengan khutbah nikah pendek dibacakan oleh jurunikah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI