KUALA LUMPUR – Pelakon Sweet Qismina meluahkan rasa bengang terhadap sikap penunggang motosikal yang gemar membuat aksi berbahaya ketika berada di jalan raya.
Perkara tersebut dikongsinya menerusi Insta story yang dimuat naiknya malam tadi.
Menurut pemilik nama penuh Farhanna Qismina Suspandi, pengalaman bertembung dengan segelintir penunggang motosikal yang melakukan aksi bahaya dialami ketika memandu kereta di Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) semalam.
“Saya cuma hendak berkongsi pengalaman tidak menggembirakan yang berlaku kepada saya sebentar tadi (semalam). Sekumpulan anak muda lelaki yang ‘merempit’ sehingga menganggu pengguna jalan raya lain.
“Sebelum ini saya tidak pernah kisah tetapi apabila saya sendiri mengalaminya. Memang rasa geram dan tidak rasa selamat dengan aksi ‘superman’ mereka yang sangat bahaya itu,” katanya.
Pelakok drama Pink Smile juga berasa marah apabila ada segelintir penunggang motosikal itu melakukan aksi bahaya dan berhenti secara tiba-tiba di kawasan berselekoh.
“Apabila di kawasan selekoh, tiba-tiba mereka berhenti, apa masalah mereka?
“Saya memang tidak kisah langsung jika mereka nak buat aksi terbang, terlentang atau berdiri sekali pun tetapi jangan sampai menghalang laluan dan bahayakan nyawa sendiri serta orang lain.
“Saya tak mahu berlaku kemalangan yang disebabkan salah mereka sendiri namun pengguna jalan raya lain yang dipersalahkan,” jelasnya.
Kekasih kepada pelakon Adam Lee itu menambah, sekiranya penunggang motosikal tersebut tidak menyanyangi nyawa sendiri, mereka perlu memikirkan juga mengenai nyawa orang lain.
“Kalau anda tidak kisah mengenai nyawa sendiri melayang, tolong fikir sikit tentang orang lain yang sayang nyawanya. Tolong jangan jadi punca,” katanya lagi. – K! ONLINE