KUALA LUMPUR- Sokongan pimpinan tertinggi dan Ahli Parlimen daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta rakan kongsi politik lain terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan menunjukkan penolakan terhadap sebarang usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, PN merakamkan ucapan terima kasih kepada semua parti komponen dan rakan kongsi atas sokongan padu tersebut.
“Sokongan ini melambangkan bahawa semua parti politik yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional bersama dalam menghadapi situasi pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi ketika ini sekaligus menolak sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
“Tatkala penularan wabak Covid-19 ini masih berleluasa di seluruh dunia, kerajaan PN memberikan tumpuan penuh untuk menguruskan ekonomi negara dengan baik dan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, PN menyeru kepada semua rakyat untuk terus bersatu hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kesihatan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan bagi bersama-sama mengulangi kejayaan untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19. -K! ONLINE