CABARAN semakin sukar buat pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing, John McPhee untuk mengejar kejuaraan dunia Moto3 apabila gagal menamatkan perlumbaan pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Le Mans semalam.
Pelumba Britain itu terjatuh pada pusingan ke-18 perlumbaan apabila terlibat dalam kemalangan selepas dia terlanggar pelumba pasukan Kommerling Gresini, Jeremy Alcoba di selekoh ke-10.
Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT), Datuk Razlan Razali mengakui McPhee mengharungi perlumbaan yang agak mengecewakan apabila gagal memanfaatkan permulaan di petak ketiga.
“Satu perlumbaan yang kurang bagus untuk McPhee dan Sepang Racing memandangkan dia gagal bermula dengan baik biarpun memulakan saingan di petak ketiga.
“Ketika perlumbaan berbaki empat atau lima pusingan, dia (McPhee) terlibat dalam kemalangan yang tidak boleh dielakkan, sekali gus meletakkannya di tempat kelima carta kejuaraan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sejurus tamat perlumbaan.
Bagaimanapun, beliau percaya anak buahnya itu akan bangkit pada Grand Prix (GP) Aragon di Litar Motorland minggu depan untuk kembali bersaing dalam merebut kejuaraan dunia.
“Saingan musim ini berbaki lima perlumbaan dan agak sukar mengejar kejuaraan dunia tetapi saya yakin dia akan bangkit dan bekerja keras untuk dapatkan kejuaraan atau sekurang-kurangnya tiga teratas,” tegasnya.
Selepas perlumbaan semalam, McPhee jatuh dua anak tangga dalam senarai kejuaraan dunia apabila berada di tempat kelima dengan 98 mata, 37 mata dibezakan dengan pendahulu daripada pasukan Aspar, Albert Arenas.
Sementara itu, rakan sepasukan McPhee yang juga pelumba negara, Khairul Idham Pawi turut gagal mengutip sebarang mata apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.