fbpx

Logo halal bantu perluas produk Hernan Corp ke pasaran antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Saya tidak menyangka logo halal telah membawa perniagaan kami lebih jauh,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hernan Corporation Sdn. Bhd. (Hernan Corp.), Anna Teo.

Menurut beliau, pensijilan halal Malaysia telah mendapat pengiktirafan dan permintaan tinggi daripada pasaran luar negara baik daripada masyarakat Muslim bahkan yang bukan ber­agama Islam.

Ini dapat dilihat beliau ketika meluaskan pemasaran produk ke Hong Kong dan Australia.

Menurut Teo, meskipun komuniti muslim sangat kecil di negara berkenaan, tetapi para pe­langgan memandang tinggi dan berkeyakinan terhadap produk yang memiliki logo halal.

 

Mereka menganggap produk tersebut adalah bersih dan selamat digunakan.

“Di Hong Kong misalnya, produk kami mendapat sambutan bukan hanya daripada muslim kerana komuniti mereka di sana sangat kecil, malah pengguna bukan muslim turut memandang tinggi logo halal dan yakin dengannya.

“Status halal juga membo­lehkan kami bekerjasama de­ngan pelbagai syarikat multi nasional seperti F&N dan Unilever,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Persidangan Halal Dunia bertempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia Selasa lalu.

Hernan Corp. merupakan pengeluar produk makanan ber­asaskan durian.

Syarikat kini telah mengeksport lebih daripada 20 buah negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Indonesia, Vietnam, Taiwan, Korea, Dubai, United Kingdom dan Belanda.

Syarikat itu juga memiliki kira-kira 30 unit simpanan stok (SKU) seperti kek bulan, penkek, dumpling, mochi, dorayaki, coklat dan aiskrim, semuanya berasaskan durian dengan jumlah dagangan sebanyak RM17 juta tahun lalu.

 

Teo mengakui, proses mendapatkan status halal bukan mudah, malah beliau sendiri pernah gagal mendapat pensijilan kerana kurang arif tentang syarat pematuhan pensijilan halal yang ketat.

“Untuk menjadikan operasi pengeluaran patuh pada syarat pensijilan sememangnya memerlukan kos.

“Bagaimanapun, disebabkan syarat yang ketat ini, banyak syarikat luar negara yang ber­minat menubuhkan kilang di sini untuk mendapatkannya,” kata­nya.

Bercerita tentang pemilihan durian sebagai asas perniagaan lebih 15 tahun lalu, Teo berkata, ia bermula ketika bertugas sebagai pramugari MAS dan beliau banyak me­lakukan kajian pasaran di negara yang dikunjungi.

“Saya berminat untuk membekalkan produk tempatan ke pasaran luar negara dan pada masa itu, banyak produk kita yang berjaya menembusi pasaran luar seperti mi dan sos.

“Saya memilih durian kerana terdapat banyak permintaan untuknya. Saya melihat raja buah ini sebagai satu peluang kerana waktu itu tidak ada persaingan,” katanya.

Tambah Teo, Malaysia kini memiliki kelebihan dalam penawaran produk berasaskan durian kerana varian Musang King yang kualitinya sukar ditandingi durian dari negara-negara lain.

Jelasnya, durian Musang King memiliki standard tersendiri dengan profil rasa, warna dan bentuk yang hampir sama pada setiap buah yang mana kuali­ti­nya jarang didapati pada varian durian lain yang ditanam di negara luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI